Saturday, January 2, 2010

Pengenalan Kepada Kerja Sosial

1.0 PENGENALAN Kerja sosial



Ia merupakan satu bidang yang mempunyai keistimewaannya tersendiri dari segi tugas dan tanggungjawab mereka terhadap pelbagai pihak yang memerlukan. Kerja sosial boleh di definisikan sebagai satu seni (art), sains, dan sebagai satu profesion yang menolong manusia untuk menyelesaikan masalah mereka sama ada secara personal, kumpulan (terutamanya keluarga) dan juga masalah-masalah komuniti (Farley & Etc. all, 2006). Ianya bukan sesuatu yang baru dan tidak mungkin pupus oleh kerana profesion ini berteraskan prinsip dan falsafah kemanusiaan sejagat yang diperkukuhkan dengan ikatan ilmu hasil daripada penyelidikan dan pemerhatian yang saintifik dan empirikal dan seterusnya wujud dalam kerangka amalan kerja yang mantap.

Umumnya, kerja sosial adalah satu profesion yang ingin membawa perubahan sosial kepada masyarakat secara umum pada peringkat pembentukan perkembangan individu. Dengan menggunakan pelbagai teori perlakuan manusia dan sistem sosial, kerja sosial terlibat pada pelbagai tahap interaksi manusia dengan persekitaran kehidupan. Permulaan praktis kerja sosial berfokus untuk mencapai keperluan manusia dan mengembangkan potensi dan sumber-sumbernya. Kerja sosial menjalankan praktis dalam 5 konteks, iaitu politik, geografi, sosioekonomi, budaya dan spiritual. Kelima-lima konteks ini mampu memberikan matlamat yang terarah dalam praktis kerja sosial. Prinsip asas kerja sosial adalah prinsip kemanusiaan dan keadilan sejagat (definisi yang diterima pakai IFSW General Meeting in Montreal Canada, July 2000).

Profesion kerja sosial mempunyai falsafah yang tersendiri yang merangkumi pelbagai pengertian ilmu. Ia juga berlandaskan etika kerja sosial yang menjadi garis panduan dalam melaksanakan profesion ini. Di samping itu, bidang ini menitikberatkan hak asasi yang dimiliki oleh setiap individu yang patut dijaga dan dipertahankan tanpa mengira status, usia, darjat, pangkat dan warna kulit. Prinsip etika kerja sosial juga adalah sesuatu yang begitu penting yang perlu diamalkan oleh pekerja sosial dalam menjamin kejayaan terhadap praktis serta profesion kerja sosial itu sendiri.


2.0 FALSAFAH, ETIKA DAN HAK ASASI MANUSIA DI DALAM KERJA SOSIAL 2.1 FALSAFAH KERJA SOSIAL


Berdasarkan Kamus Dewan, falsafah merupakan pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain. Falsafah merangkumi gugusan kepercayaan, sikap, nilai, prinsip etika dan praktis yang dipegang oleh profesion tersebut. Persoalan falsafah ataupun masalah falsafah ialah topik yang dibincangkan dalam bidang falsafah. Ia boleh diibaratkan sebagai isi dalam falsafah. Persoalan falsafah sentiasa disifatkan sebagai soalan yang sangat rumit, dan ia memerlukan pemikiran yang bersungguh-sungguh. Sesuatu soalan itu akan menjadi persoalan falsafah apabila soalan itu tidak dapat diselesaikan melalui kaedah saintifik. Biasanya, persoalan falsafah akan melibatkan persoalan tentang konsep, ideologi serta perkara-perkara yang abstrak. Contoh-contoh persoalan falsafah adalah seperti, "Apakah kebenaran?”, “Apakah Pemikiran?", "Apakah ilmu pengetahuan?", "Apakah Kehidupan?" dan sebagainya.

Bidang falsafah memberikan nilai yang tinggi kepada persoalan yang baik, iaitu soalan yang mempunyai nilai falsafah. Ini adalah kerana soalan yang baik menjanjikan penghuraian yang baik. Sebagai contoh, persoalan epistemologi yang ditanyakan pada zaman dahulu seperti "apakah kebenaran?”, “apakah ilmu pengetahuan?" sebenarnya telah memajukan sains dan teknologi manusia pada hari ini.


Bidang falsafah boleh dikategorikan kepada 5 cabang yang berlainan berdasarkan persoalan-persoalan tertentu iaitu:



a) Metafizik – Bidang falsafah yang memikirkan tentang sesuatu kewujudan di dunia ini meliputi aspek semula jadi, manusia dan ketuhanan.
b) Epistemologi - Bidang falsafah yang memikirkan tentang ilmu pengetahuan.
c) Etika – Bidang falsafah yang memikirkan tentang persoalan moral pada manusia seperti tindakan yang dilakukan, perbezaan tindakan moral dan tidak bermoral, serta tindakan yang betul dan salah. d) Logik – Bidang falsafah yang mengkaji penaakulan manusia.
e) Estetika – Bidang falsafah yang memikirkan tentang keindahan. Falsafah kerja sosial amat berkait rapat dengan pegangan nilai.



Terdapat 8 nilai falsafah yang menjadi prinsip utama.


Pegangan nilai pertama ialah menghormati individu. Pekerja sosial seharusnya menghormati klien dari segi pandangan dan perasaan klien tanpa mengira sebarang aspek dengan menunjukkan bagaimana kita menerimanya. Tanpa prinsip ini, klien mungkin berasa dirinya tidak diterima, tidak bernilai dan membuatkan dia sukar untuk mencapai kefungsian sosial mereka. Setiap klien ada hak dan keperluan, pekerja sosial tidak seharusnya melabelkan klien mahupun memandang prejudis kerana rasa hormat ini mampu memberi implikasi terhadap khidmat kerja sosial yang diberikan.


Pegangan nilai kedua ialah mempercayai setiap individu mempunyai keunikannya tersendiri. Dalam hal ini, pekerja sosial perlu membantu klien mengenali dan menerima kebolehan yang ada pada diri klien itu sendiri agar keunikan klien dapat dijadikan sebagai panduan untuk memberikannya sumber-sumber yang bersesuaian. Pekerja sosial perlu mengetahui bahawa setiap orang adalah unik dan mempunyai keupayaan yang berbeza. Hal ini memerlukan klien mengetahui kualiti yang unik tentang klien yang boleh dimanfaatkan dalam proses intervensi.

Pegangan nilai ketiga ialah individu mempunyai keupayaan. Setiap klien mampu untuk berubah ke arah positif. Pekerja sosial seharusnya mengetahui potensi-potensi yang dimiliki oleh klien, ia boleh digunakan untuk perkembangan dan perubahan diri klien itu sendiri. Semua individu cuba untuk memajukan diri dan melakukan dalam dunianya hasil dari penglihatannya sebagai kelakuan yang mulia. (Capuzzi & Gross, 2003).

Pegangan nilai keempat merupakan aspek berkaitan perubahan adalah ditentukan oleh diri individu. Pekerja sosial perlu menanamkan kepercayaan bahawa klien mempunyai keupayaan untuk berkembang dan berubah dan membuat penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi. Klien ada hak untuk menentukan perubahan, oleh itu, ruang kepada klien untuk berubah perlu diberikan.

Pegangan nilai kelima berkaitan prinsip hak kemanusiaan. Setiap individu mempunyai hak dan maruah tanpa mengira darjat, status mahupun warna kulit. Hak kemanusiaan ini adalah berasaskan kepada tuntutan manusia untuk berkembang dan hidup seterusnya menggunakan kualiti yang ada pada diri mereka.

Pegangan nilai keenam menekankan kepada keadilan sosial. Keadilan sosial perlu dilakukan dan diterima oleh masyarakat. Sekiranya berlaku ketidakadilan, pekerja sosial perlu memperjuangkan keadilan tersebut melalui sumber-sumber dari pelbagai pihak.





2.2 ETIKA KERJA SOSIAL


Etika merupakan satu disiplin ilmu dan sains yang membicarakan apakah baik dan buruk, salah dan benar serta apa yang dikehendaki dengan tanggungjawab dan kewajipan. Bidang etika berperanan membahaskan secara sistematik, seterusnya menyarankan dan dalam keadaan tertentu mempertahankan konsep-konsep yang dibina tentang perlakuan baik dan buruk. Etika merujuk kepada apa yang dilihat oleh manusia sama ada betul mahupun salah. Ia boleh ditakrifkan sebagai suatu tatacara atau garis panduan yang telah ditetapkan pada sesuatu unit. Etika begitu diutamakan dalam sesebuah profesion seperti kerja sosial, kaunseling, guru, doktor, peguam, polis dan sebagainya. Melalui prinsip etika yang ditekankan, tugas dan tanggungjawab akan lebih mudah dipikul dan dilaksanakan. Etika amat berkait rapat dengan falsafah kerja sosial dan nilai.

Etika juga merujuk kepada apa yang dilihat sebagai satu tindakan yang betul atau salah. Etika boleh diketengahkan sebagai garis panduan yang perlu diikuti bagi setiap individu dalam melakukan sesuatu tugasan. Di dalam profesion kerja sosial, etika sentiasa dititikberatkan. Ia penting agar tidak berlaku sebarang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa atau kepentingan yang dimiliki pekerja sosial serta membantu dalam menjamin keberkesanan tugas yang dilaksanakan dalam sebarang situasi yang dihadapi sama ada mudah mahupun sukar. Sebagai contoh, dalam menghadapi sesuatu kes, pekerja sosial tidak akan menentukan apa masalah dan isu yang mereka ingin tumpukan, mereka tetap menghadapi situasi tersebut walaupun rumit tetapi cuba untuk menyelesaikannya melalui etika yang terdapat dalam kerja sosial.Pekerja sosial perlu bersedia untuk melaksanakan proses menolong mikro, mezzo dan makro. Sekiranya pekerja sosial sudah memegang sesuatu kes, pekerja sosial perlu melaksanakannya dengan bersungguh dan mereka perlu bertanggungjawab terhadap etika kerja sosial yang dipegang.

Terdapat tiga cabang asas dalam perbincangan etika iaitu etika mataetika, etika normatif dan etika gunaan.Mataetika merujuk kepada dari mana datangnya sumbersumber dan prinsip etika sebagai rujukan sama ada benar atau salah. Etika normatif pula bersifat normal seperti yang diamalkan dalam norma-norma masyarakat. Sesuatu tindakan itu sama ada diterima atau tidak oleh masyarakat. Manakala etika gunaan merujuk kepada sesuatu keadaan atau perbuatan tertentu yang dilakukan pada waktu dan tempat tertentu, namun etika gunaan sering menimbulkan kontroversi atau konflik dalam membuat sesuatu keputusan.

Pelbagai tujuan etika yang terdapat dalam profesion kerja sosial, antaranya pegangan etika memberi perlindungan kepada pekerja sosial sebagai pemberi perkhidmatan dan klien sebagai penerima perkhidmatan. Etika juga memastikan pekerja sosial mengutamakan tanggung jawab moral sekali gus melindungi klien daripada ketidakfungsian. Etika dalam kerja sosial merangkumi etika terhadap profesion, diri sendiri, rakan setugas, organisasi serta klien yang meliputi individu, kumpulan dan komuniti.



2.3 HAK ASASI MANUSIA


Hak asasi merupakan hak-hak yang semula jadi yang ada pada diri setiap individu tanpa mengira sebarang perbezaan. Hak asasi manusia ini wujud berasaskan tuntutan manusia dalam kehidupan mereka untuk membantu manusia berkembang dan terus hidup. Berdasarkan kamus dewan, hak asasi merupakan hak yang dasar seperti hak kebebasan dalam menyuarakan pendapat, bergerak, hidup dan sebagainya. penghormatan kepada hak dan maruah manusia merupakan asas kebebasan, adanya kebebasan maka adanya hak asasi manusia. Apabila hak asasi seseorang individu itu dimiliki, ianya boleh mendatangkan kepuasan dan ketenangan dalam dirinya. Sekiranya ianya tidak dipenuhi, ianya boleh mendatangkan kemurungan, kebuntuan dan perasaan merontaronta dalam dirinya. Walau bagaimanapun, hak asasi ini mempunyai batas tersendiri yang perlu dipatuhi. Hak asasi manusia dan kebebasan merupakan asas yang membenarkan setiap individu untuk berkembang dan membangun serta menggunakan kualiti diri sebagai manusia. Penafian tentang hak asasi manusia bukan sahaja sebagai satu tragedi kepada manusia, malah mendatangkan ketidakselesaan terhadap politik, ekonomi dan sosial. Sebagai contoh, keganasan mahupun konflik dalam masyarakat yang meliputi rusuhan, mogok dan sebagainya. hak asasi manusia bersifat universal dan dimiliki oleh semua orang tanpa diskriminasi.


Hak asasi manusia boleh difahamkan dari dua segi, iaitu dari segi perundangan dan juga dari segi moral. Mengikut perundangan, hak asasi manusia merupakan satu bentuk hak yang dinikmati oleh seorang warganegara seperti apa yang telah termaktub dalam undang-undang negara berkenaan. Contohnya, dalam perlembagaan Malaysia terdapat penerangan mengenai hak asasi manusia yang terlindung di bawah perlembagaan. Pencabulan hak kemanusiaan yang berkenaan, mungkin akan membawa kepada tindakan undang-undang yang sewajarnya. Pentakrifan hak asasi manusia dari segi undang-undang adalah berbeza mengikut negara masing-masing. Dari satu segi moral, Hak Kemanusiaan merupakan satu tanggapan moral yang didukung oleh anggota masyarakat. Sehubungan dengan perkara ini, anggota masyarakat akan mengakui wujudnya hak tertentu yang harus dinikmati oleh setiap individu. Maka anggota-anggota masyarakat berkenaan akan cuba mengelakkan diri daripada mencabuli hak masing-masing dengan penuh perasaan moral. Pelbagai dokumen yang telah menggariskan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa, antaranya Hak Asasi Manusia Sejagat PBB 1948, Konvensyen Antarabangsa Hak Politik dan Sivil (ICCPR) 1966, Konvensyen Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial Dan Budaya (ICESCR) 1966 dan sebagainya. Kesemua dokumen tersebut melindungi hak manusia daripada dicerobohi. Sebagai contoh di dalam Hak Asasi Manusia Sejagat, Perkara 12 menerangkan, Tiada sesiapa pun yang boleh dikenakan kepada sebarang gangguan sewenang-wenangnya terhadap keadaan peribadi, keluarga, rumah tangga atau surat-menyuratnya, atau percerobohan ke atas maruah dan nama baiknya. Setiap orang berhak kepada perlindungan undang-undang terhadap gangguan atau percerobohan sedemikian. James W. Nickel telah mengemukakan beberapa unsur hak, iaitu pemilik hak, ruang lingkup penerapan hak dan pihak yang bersedia dalam penerapan hak. Ketiga-tiga unsur tersebut kemudiannya disatukan dalam satu dasar hak yang kemudiannya menjelaskan hak sebagai satu unsur normatif yang ada pada diri manusia yang dalam penerapannya berada dalam ruang lingkup hak persamaan dan hak kebebasan.

Terdapat juga teori yang dikemukakan berkaitan hak asasi manusia iaitu teori Mc Closkey yang menerangkan bahawa pemberian hak adalah untuk dilakukan, dimiliki dan dinikmati atau sudah dilakukan. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab pekerja sosial melaksanakan perkhidmatan mereka dengan memperjuangkan hak asasi manusia. Sebagai mana yang telah dinyatakan, dengan adanya hak asasi ini akan mampu untuk membangunkan kefungsiaan dan kecekapan individu, kumpulan dan komuniti dari pelbagai aspek.




3.0 PRINSIP ETIKA KERJA SOSIAL


Prinsip etika dalam kerja sosial merupakan suatu prinsip yang amat mementingkan nilai untuk memandu pekerja sosial bertindak dalam proses menolong klien. Etika adalah nilai dalam tindakan kita (Levy, 1979). Terdapat dua nilai yang sering dilakukan oleh manusia iaitu nilai normatif (peraturan) dan nilai non-normatif (bukan bersifat peraturan). Nilai mungkin berlaku dalam hubungan dan juga tidak berlaku dalam hubungan, tetapi etika berlaku dalam hubungan. Sekiranya sesuatu hubungan itu ada nilainya, ia memerlukan tugas sesuatu pihak untuk bertindak secara beretika terhadap individu lain yang boleh dikatakan sebagai tanggungjawab etika di dalam peranan sosial termasuklah hubungan pekerja sosial dengan klien. Pekerja sosial memindahkan nilai ke dalam tindakan konkrit dalam situasi tertentu yang disebut sebagai prinsip etika kerja sosial.


Terdapat 6 prinsip etika di dalam kerja sosial yang di kemukakan oleh National Association of Social Work (NASW).

Prinsip Etika NASW pertama
ialah perkhidmatan (service). Pemberian perkhidmatan oleh pekerja sosial bermatlamatkan untuk menolong manusia dengan telus. Pekerja sosial perlu sentiasa bersedia dalam memberikan perkhidmatan selagi mana diperlukan. Dalam prinsip ini juga, pekerja sosial mesti menggunakan segala pengetahuan, nilai dan kemahiran yang ada untuk membantu masyarakat menyelesaikan permasalahan dan kekurangan yang dihadapi. Selain itu, pekerja sosial perlu menghubungkan klien dengan sumber-sumber yang dapat membantu mereka. Perkhidmatan yang diberikan juga tidak seharusnya mengharapkan balasan atau menyimpan motif tertentu kerana ia boleh mempengaruhi dari segi tanggungjawab yang dilaksanakan.

Prinsip etika kedua ialah keadilan sosial (social justice). antara aspek yang perlu diambil kira ialah keadilan dari segi perundangan, ekonomi dan sosial. Keadilan sosial ini mungkin boleh menjadi suatu cabaran yang besar kepada pekerja sosial kerana mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai situasi yang bertentangan dengan ketidakadilan dalam pelbagai situasi. Pekerja sosial seharusnya berusaha menegakkan keadilan dan bersikap adil. Sekiranya individu, kumpulan mahupun komuniti menghadapi penindasan atau penganiayaan, pekerja sosial perlu bangun untuk membantu yang memerlukan dengan memberikan perlindungan dan menghubungkan klien dengan sumber-sumber yang dapat membantu. Pekerja sosial juga perlu memfokuskan isu yang menjadi ancaman keadilan sosial ini seperti isu gender, ras, budaya, agama, diskriminasi, kemiskinan dan sebagainya. oleh itu, pekerja sosial seharusnya sentiasa bersedia dengan ilmu pengetahuan yang banyak tentang pelbagai isu di dalam keadilan sosial. Pekerja sosial perlu mengetengahkan isu klien dalam menyuarakan ketidakadilan sosial yang berlaku kerana ia termaktub di dalam hak asasi manusia yang dimiliki oleh setiap orang.

Prinsip etika ketiga ialah menghormati maruah dan harga diri individu (dignity and worth of the person). Pekerja sosial perlu menerima klien seadanya, menerima dan merawat klien dengan penuh kemanusiaan dan pertimbangan serta memperjuangkan maruah dan harga diri klien. Sikap prejudis dan menghakimi klien harus dielakkan. Semua manusia mempunyai maruah dan harga diri, pandangan dan keputusan yang dibuat adalah hak mereka dan ia perlu dihormati. Pekerja sosial perlu menganggap proses menolong klien sebagai misi utama yang perlu dititikberatkan dan bernilai. Permasalahan dan hak mereka perlu diselesaikan tanpa mengira siapa pun diri klien kerana setiap klien mempunyai maruah dan hak tanpa mengira pangkat, usia, etnik, warna kulit mahupun gender.

Prinsip etika yang keempat ialah kepentingan perhubungan kemanusiaan (importance of human relationships). Perhubungan kemanusiaan meliputi perhubungan antara manusia di dalam pelbagai peringkat seperti peringkat individu, kelompok dan komuniti. Perhubungan ini perlu difahami oleh pekerja sosial dalam proses menolong klien. Di samping itu, perhubungan pekerja sosial dengan klien seharusnya berlaku dengan baik agar klien dapat merasakan pekerja sosial dapat dipercayai dan mampu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi. Apabila klien merasakan pekerja sosial dipercayai, klien akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya dan meluahkan konflik yang dihadapi dengan baik seterusnya kepada penyelesaian permasalahan yang dihadapi. Perhubungan kemanusiaan yang harmonis membantu kejayaan perkhidmatan di dalam kerja sosial.

Prinsip etika yang kelima dalam kerja sosial ialah kejujuran dan integriti (integrity). Prinsip ini menekankan kepada sikap jujur dan amanah pekerja sosial dalam melaksanakan proses menolong. Pekerja sosial secara terus-menerus perlu menyedari tentang misi profesion, nilai, prinsip etika, piawaian etika dan praktis profesion dalam cara yang bersesuaian dengan mereka. Pekerja sosial jua perlu sentiasa bertindak jujur dan mengamalkan etika sebagaimana yang telah digariskan. Klien perlu diberikan maklumat yang betul sebagaimana yang sepatutnya tanpa melakukan sebarang penyelewengan agar klien dapat membangun dan mengalami perubahan yang positif berdasarkan suber-sumber yang diberikan.


Prinsip etika yang keenam
dan terakhir dalam kerja sosial ialah kecekapan (competence). Kecekapan yang dimaksudkan adalah kecekapan dalam melaksanakan tanggungjawab yang dipegang.

Pekerja sosial perlu berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran di dalam profesion dari semasa ke semasa dan seterusnya mengaplikasikannya ke dalam praktis untuk menampakkan kecekapan pekerja sosial itu sendiri. Sekiranya pekerja sosial mempunyai kecekapan dalam melaksanakan praktis, klien akan dapat menyelesaikan permasalahan yang dihadapi dan berupaya untuk berkembang ke arah positif dengan bantuan pekerja sosial tersebut. Selain itu, kecekapan yang dituntut dapat membantu pekerja sosial bertindak lebih bijak untuk melakukan apa yang perlu dan menghindarkan diri daripada perkara-perkara yang melanggarkan perundangan profesion.

Secara keseluruhannya, prinsip etika kerja sosial sebagaimana yang digariskan oleh NASW sememangnya begitu penting untuk diikuti sebagai panduan dalam menjalankan praktis, meningkatkan pengetahuan, meningkatkan profesion serta membantu klien. Sekiranya kesemua prinsip etika ini diamalkan dan difahami, sudah tentu profesion kerja sosial terus maju ke hadapan dan membantu masyarakat.




4.0 PENUTUP
Kesimpulannya, pelbagai aspek yang telah dibincangkan di atas meliputi falsafah, etika dan hak asasi manusia dalam kerja sosial yang dapat memberi kefahaman asas tentang profesion ini. Selain itu juga, prinsip etika yang dikemukakan sememangnya berupaya membangunkan pekerja sosial, profesion dan klien. Kerja sosial adalah suatu bidang profesional dalam membantu pelbagai klien di peringkat mikro, mezzo dan makro. Namun begitu, terdapat juga yang tidak menyedari akan peranan yang telah dimainkan oleh pekerja sosial. Tanggungjawab yang dipikul bukanlah semudah yang disangka. Ia memerlukan satu pengorbanan yang besar dari segi mental, emosi dan fizikal. Setiap penyelesaian sesuatu masalah akan menggunakan perancangan yang sistematik, berkesan dan mementingkan “win-win situation” di samping penggunaan teori untuk menyelesaikan permasalahan-permasalahan di dalam praktis dalam situasi yang berbeza. Oleh itu, masyarakat perlu menghargai profesion kerja sosial sebagai suatu profesion yang mulia dan sentiasa menjaga kepentingan individu, kumpulan dan komuniti.


RUJUKAN
Clark, C. L., & Asquith, S. Social work and social philosophy: A guide for practice. Routledge & Kegan Paul: London. Robinson, W., & Reeser, L.C. (2000). Ethical decision making in social work: London. http://ms.wikipedia.org/wiki/Falsafah http://ms.wikipedia.org/wiki/Hak_asasi_manusia http://www.dbp.gov.my http://www.ifsw.org http://www.socialworkers.org

2 comments:

  1. Casino Rules: A Casino Rules Guide
    For instance, we 바카라 사이트 유니 88 are a casino. The casino rules the casinos give out. a bonus or two for players that are playing casino games on

    ReplyDelete
  2. Grand Junction Casino - Mapyro
    Grand Junction Casino. Information, 원주 출장샵 timings and 울산광역 출장마사지 contact. Search by area, 영주 출장샵 including phone number, map 남양주 출장마사지 and map of all 문경 출장마사지 the casinos in Grand Junction.

    ReplyDelete